LIMBANG OH LIMBANG

Isnin, 12 Julai 2010

Limbang ku Bisai tok...

Walaupun kemudahan jalan raya semakin baik dan menghubungi banyak tempat di LImbang, namun pengangkutan air tetap digunakan secara meluas

Bahagian Limbang yang kita ketahui sekarang mempunyai 4 sungai utama iaitu Sungai Limbang, Sungai Pandaruan, Sungai Trusan dan Sungai Lawas.

Pembentukan apa yang dikenali sebagai Bahagian Limbang sekarang ini berlaku secara beransur-ansur selari dengan kejayaan permerintahan Brooke mengambil kawasan sungai-sungai ini dan dijadikan unit pentadbiran kelimanya.

Limbang terletak di Timur Laut Sarawak dan bersempadan dengan Sabah, Brunei dan Indonesia.

Bahagian Limbang adalah satu daripada 11 Bahagian yang terdapat di Sarawak yang dikenali sebagai Bahagian ke-5 dulunya.

Limbang terbahagi kepada dua daerah iaitu Daerah Limbang dan Daerah Lawas, serta tiga daerah kecil iaitu Nanga Medamit, Sundar dan Trusan. Bandar Limbang adalah pusat pentadbiran bagi Bahagian ini.

Bahagian Limbang keseluruhannya mempunyai keluasan 7,790 km persegi yang mengabungkan daerah Limbang seluas 3,978.1 km persegi dan daerah Lawas 3,811.9 km persegi.

Bahagian Limbang adalah wilayah yang terakhir sekali diperolehi oleh Brooke daripada Kerajaan Brunei. Ia telah menjadi sebahagian wilayah Sarawak dalam tiga peringkat, iaitu Trusan pada 1885, Limbang (1890) dan Lawas (1905).

Penduduk

Di bahagian Limbang, sejumlah 103 km jalan (gravel) telah dibina

Bahagian Limbang mempunyai penduduk berjumlah 72,440 orang (mengikut banci tahun 2000) yang terdiri daripada beberapa etnik utama iaitu Melayu, Cina, Iban, Lun Bawang dan Bisaya.

Keseluruhannya pekerjaan utama penduduknya ialah mengusahakan pertanian, penternakan, perikanan dan perniagaan, namun banyak juga yang berkerja 'makan gaji' di sektor awam dan swasta.

Masyarakat Cina kebanyakannya mendiami bandar Limbang dan pekan seperti Mendamit, Ukong dan Batu Danau. Mereka secara keseluruhannya adalah perniaga di bandar dan pekan berkenaan.

Masyarakat Melayu pula kebanyakannya mendiami kawasan persisir pan-tai, bekerja sebagai nelayan (membuat belacan, keropok dan ikan tahai/salai.)

Bagi yang tinggal di pedalaman mereka mengusahakan tanaman padi sawah serta tanaman kontan seperti getah dan kelapa. Ada juga yang berkhidmat sebagai kakitangan awam (guru, pentadbir dan profesional).

Masyarakat Kedayan dipercayai berasal dari Brunei namun banyak yang telah berhijrah ke Lawas dan Limbang. Mereka mengamalkan budaya serta melakukan kerja hampir sama seperti orang Melayu walaupun berbeza dari segi bahasa.

Lun Bawang pula bermaksud 'orang tempatan/negeri ini,' kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman di Limbang. Mereka adalah petani sepenuh masa dan merupakan orang pertama di Borneo yang menanam Epal dengan jayanya.

Masyarakat Iban, majoriti mereka tinggal di sepanjang sungai kawasan Pandaruan, Sungai Lubai dan Hulu Batang Limbang.

Kebanyakan mereka juga adalah petani sepenuh masa. Dipercayai berasal dari Sri Aman, Lubok Antu, Sibu dan Kalimantan. Mereka berhijrah ke Limbang atas jemputan Charles Brooke untuk menanam kopi di kawasan Pandaruan.

Kebajikan masyarakat Penan tidak diabaikan. Projek Rumah Leju Penan Long Napir di Bahagian Limbang yang disiapkan pada tahun 2000 ini adalah salah satu daripada contoh keperihatinan kerajaan

Pembangunan Sosio-Ekonomi

Pada zaman Kerajaan Brooke terdapat dua matlamat utama bagi wilayah ini iaitu mengekalkan keamanan dan pembangunan ekonomi. Namun pada masa itu matlamat itu tidak tercapai sepenuhnya, tetapi setelah Limbang menyertai Sarawak menjadi sebuah negeri dalam Malaysia pada tahun 1963, Limbang telah menikmati pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial yang pesat.

Kebelakangan ini, penanaman kelapa sawit, koko, penternakan lembu dan kerbau, pemeliharaan ikan air tawar serta penanaman Epal di Ba'Kalalan adalah menggalakan dan ini banyak membantu peningkatan taraf ekonomi penduduk di sini.

Bagi tujuan pertanian secara komersil tanah seluas 203,761 hektar telah diluluskan untuk melaksanakan kegiatan perladangan.

Kini terdapat tiga kawasan utama yang telah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit iaitu di Ulu Pandaruan/ Medamit Limbang, Jalan Trusan Lawas dan di Jalan Sundar Lawas.

Perindustrian pula terdapat dua jenis iaitu perindustrian berasaskan kayu dan perindustrian bukan logam (batu bata) yang membawa nilai eksport sebanyak RM46.7 juta bagi Venner, Sawmill (RM90.7 juta) dan batu bata (RM45.4 juta) bagi tempoh tahun 2000.

Kemudahan Asas

Seperti di bahagian lain, penduduk Bahagian Limbang juga menikmati kemudahan-kemudahan asas yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Keseluruhan kawasan di Bahagian ini dapat dihubungi sama ada melalui jalan darat atau sungai.

Hampir keseluruhan kawasan bandar dan sebahagian kawasan luar bandar telah dihubungkan dengan jalan raya.

Di Limbang terdapat sepanjang 92 km jalan premix, 103 km (gravel) dan 596.3 km (jalan tanah).

Manakala di Lawas pula terdapat 90.6 km (premix), 285.7 km (gravel) dan 451.1 km (jalan tanah) Bagi kawasan pedalaman dan intigis, sungai adalah laluan utama mereka.

Bahagian Limbang mempunyai banyak tarikan pelancongan yang berasaskan alam sekitar misalnya yang terdapat di Gunung Buda

Selain itu, apa yang lebih istimewa, daerah Limbang dan Lawas termasuk Ba'Kalalan turut menikmati penerbangan MAS setiap hari, iaitu masing-masing purata sebanyak tujuh penerbangan sehari ke Limbang dan Lawas serta dua ke Ba'Kalalan. Jenis pesawat yang terbabit ialah DCH-6 Twin Otter, helikopter SC7-Skyvan dan Caribou.

Hampir keseluruhan penduduk di kawasan bandar telah mendapat bekalan air dan bekalan elektrik.

Sebanyak 42,069 orang atau 58 peratus penduduknya telah menerima bekalan elektrik daripada SESCo, manakala selebihnya menggunakan generator set.

Bagi bekalan air pula, sebanyak 42,139 orang atau 59 peratus penduduknya telah menerima bekalan air yang telah dirawat, selebihnya masih bergantung kepada bekalan air gravity feed, air hujan serta ir sungai.

Sesetengah kawasan luar bandar dan pedalaman berkenaan masih belum dibekalkan dengan bekalan air dan elektrik berikutan masalah perhubungan. Namun begitu, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar masih dapat menikmati arus pembangunan di mana kerajaan telah menyalurkan banyak projek seperti generator, air paip (gravity feed) dan bekalan tangki air kepada mereka.

Sejajar dengan pembangunan yang pesat, kerajaan telah mendirikan pusat pendidikan seperti tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Selain daripada pusat kesihatan seperti hospital dan klinik, kerajaan menyediakan tempat beribadah dan sosial seperti masjid, surau, gereja, tokong cina dan Dewan Suarah.

Pelancongan/Riadah

Bahagian Limbang mempunyai beberapa tempat menarik untuk dilawati seperti Taman Tasik Mas, Gunung Buda, Limbang Water Front, Muzium Wilayah Limbang dan Pasar Tamu Limbang.

Taman Tasik Mas adalah tempat tumpuan penduduk setempat untuk beriadah serta melakukan aktiviti bersenam terutamanya pada waktu pagi dan petang.

Gunung Buda adalah tempat yang berpotensi untuk terus dibangunkan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Ianya amat sesuai untuk dikunjungi bagi pencinta alam yang ingin melihat keindahan serta kehijauan alam semula jadi di sini.

Pasar Tamu Limbang yang diadakan pada hari Jumaat adalah tempat yang manarik untuk dikunjungi.

Namun mulai hari Khamis lagi kita boleh melihat para peniaga telah membuat persiapan awal untuk memulakan perniagaan pada Pasar Tamu Jumaat.

Lazimnya penduduk dari luar bandar turut datang beramai-ramai untuk berniaga pada hari tersebut dengan membawa hasil-hasil pertanian atau hasil hutan. Lebih menarik lagi Pasat Tamu Jumaat ini juga sentiasa menerima kunjungan daripada penduduk dari Brunei.

Limbang Water Front juga antara tempat menarik untuk dijadikan tempat beriadah sambil melihat pemandangan sungai dan Kampung Seberang Kedai terutama pada waktu petang dan malam.

Muzium Wilayah Limbang adalah satu-satunya tempat yang banyak menyimpan peninggalan sejarah Limbang.

Tempat ini sesuai untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin mengetahui lebih mendalam lagi akan sejarah Limbang.

Selain tempat menarik, makanan seperti ikan tahai juga tidak kurang menariknya dan sekaligus telah menjadikan Limbang dikenali ramai sebagai pengeluar ikan tahai yang terulung di Sarawak.

Ikan tahai merupakan sejenis ikan aur-aur dan tamban yang disalai, boleh dimakan begitu sahaja atau direbus dengan cili dan asam.

Di Limbang ikan tahai lebih popular dengan panggilan 'Dadah Tahai'. Ia mudah diperolehi di Pasar Tamunya dengan harga berpatutan mengikut musim.

Selain ikan tahai, Limbang juga terkenal dengan budaya Lumba Kerbau yang jarang-jarang ada dianjurkan di mana-mana pelusuk negeri ini.

Hampir setiap kali tiba hari kebesaran seperti Hari Kebangsaan, kita akan dapat menyaksikan aktiviti berkenaan diadakan di sini.

0 comments:

Catat Ulasan

 
 
 
 
Copyright © SMK LIMBANG